Friday, April 30, 2010

Kota Fesyen di akhbar pada 30 April 2010 / 16 Jamadil Awal 1431

MELAKA 3 Mac - Pembinaan Kota Fesyen yang terletak berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh dekat sini melengkapkan lagi kawasan tersebut sebagai pusat tumpuan pelancong selepas Banda Hilir.

Selain Kota Fesyen, terdapat juga pusat beli-belah Mydin, Planetarium, Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), Rumah Media dan Masjid Al-Alami yang melengkapkan lagi tarikan apabila berkunjung ke Ayer Keroh.

Kawasannya cukup strategik kerana terletak berhampiran laluan utama masuk ke negeri ini selepas melalui Plaza Tol Ayer Keroh dan orang ramai tidak perlu melalui kesesakan jalan raya apabila berkunjung ke kawasan ini.

Tidak hairanlah kewujudan Kota Fesyen itu akan menjadikan pusat beli-belah itu sebagai pusat perniagaan serta gedung tekstil terbesar di negeri ini.

Penubuhannya diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mahu melihat Kota Fesyen itu menjadi pilihan pelancong untuk mendapatkan pelbagai barangan tidak kira fabrik atau barang perhiasan.

Bagi kaum wanita yang ingin membeli-belah pakaian dengan pelbagai pilihan, sudah tentu Kota Fesyen adalah tempat yang tepat untuk dikunjungi.

Bangunan itu dibina dengan reka bentuk moden dilengkapi pelbagai kemudahan awam serta mempunyai 173 unit kedai dua tingkat di atas tanah berkeluasan 4.16 hektar.

Terletak di kawasan yang tidak berlaku kesesakan jalan raya dan kemudahan meletak kenderaan yang cukup luas menjadikan Kota Fesyen gedung tekstil paling selesa untuk dikunjungi.

Setiap pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki di Kota Fesyen pasti akan melahirkan rasa kagum melihat gedung tekstil dengan pelbagai pilihan tersergam indah.

No comments:

Post a Comment