Friday, April 30, 2010

KOTA FESYEN -dipetik dari Melaka Hari Ini

AYER KEROH, 15 Sept- Kota Fesyen (Fashion City) yang terletak di lokasi strategik di kawasan Pusat Dagangan Antrabangsa Melaka (MITC) berpotensi menjadi pusat perdagangan terkenal di seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam optimis kedudukan Kota Fesyen MITC yang strategik di antara Kuala Lumpur dan Singapura bakal menjadi katalis terpenting menjadikan pusat pertumbuhan baru ini sebagai pusat perdagangan fesyen terkenal di Malaysia, kini dan di masa hadapan.

Katanya, walau pun masih terdapat lot-lot yang kosong namun ia akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini malah Kerajaan Negeri akan membina lagi 26 lot perniagaan baru berhadapan Mydin Hypermarket bagi menampung keperluan peniaga.

"Suasana perkembangan di perniagaan di kawasan ini amat menarik sekali. Saya percaya lebih banyak lagi pusat perniagaan baru di bina di sini yang akhirnya menjadikan Kota Fesyen MITC sebagai pusat perdagangan terkenal di seluruh dunia," kata Mohd Ali semasa berucap merasmikan kedai Matahari Carperts milik usahawan karpet, Shashi G. Jogi, di sini hari ini.

Ketua Menteri memberitahu, kini nama MITC sudah terkenal ke seluruh negara dan hanya menunggu hari sahaja menjadi terkenal di peringkat antarabangsa apabila peniaga-peniag di Kota Fesyen meraih keuntungan besar dan seterusnya menjadi pedagang terkenal.

"Saya juga ingin mempelawa orang-orang Melaka yang banyak wang supaya menyewa lot-lot yang masih ada. Kini saya nampak ramai orang dari luar yang berniaga di Kota Fesyen kerana mereka yakin dengan potensi perniagaan di sini. Sepatutnya orang Melaka sendiri mesti mengambil kesempatan dan menjadi orang kaya terkenal di Malaysia. Ianya boleh berlaku menerusi perniagaan," ujar Mohd Ali.

Beliau menjelaskan, Melaka sepatutnya sudah menjadi pusat perdagangan antarabangsa dan menjadi 'whole sale emporium' Malaysia sepertimana Melaka 600 tahun lalu di mana semua pedagang tertumpu di sini untuk bertukar-tukar dan membeli barang secara borong yang akhirnya Melaka menjadi pusat dagangan terkenal seluruh dunia ketika itu.

Katanya, barang-barang dari Eropah dan juga Timur serta dari China bertukar tangan di Melaka sehinggakan ia menjadi terkenal dan jadi rebutan kuasa-kuasa dunia dan akhirnya selat terpanjang dari Selatan Thailand hingga ke Singapura dinamakan Selat Melaka.

"Itulah sejarah Melaka dulu termasuk Selatan Thailand, Singapura dan sebahagian Sumatera adalah di bawah Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka hingga menjadi rebutan. Portugis dari jauh datang menyerang Melaka untuk mengambil alih laluan pusat perdagangan. Kemudian datang pula Belanda, Inggeris juga Jepun silih berganti.

"Melaka ketika itu memang terkenal dan kita hari ini sebagai anak Melaka mestilah bertekad untuk membangunkan negeri kita yang bersejarah ini tanpa dari mana kita berasal, tidak kira kaum dan bangsa mesti sayang kepada negeri kita dan bangunkan Melaka dengan konsep 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapain diutamakan," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment